KENAPA PERLU MEMAHAMI PANDANGAN ALAM ISLAM AHLI SUNNAH WAL JAMAAH BERDASARKAN KEPADA KALAM ASHA’IRAH

KENAPA PERLU MEMAHAMI PANDANGAN ALAM ISLAM AHLI SUNNAH WAL JAMAAH BERDASARKAN KEPADA KALAM ASHA’IRAH

DR AMRAN MUHAMMAD (ISSI)

Tradisi Kalam Asha’irah telah merumuskan pandangan alam Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyeluruh dan bersepadu bagi memperjelaskan hubungan antara sifat-sifat Aqal, Alam, Allah dan Anbiya’ yang berpaksikan kepada Tauhid khususnya penegasan terhadap realisasi sifat-sifat Istighna dan Iftiqar bagi Allah SWT.

Penyerapan dan penghayatan sifat-sifat Istighna dan Iftiqar dari Sifat 20 Kalam Asha’irah khususnya dalam tradisi aqidah awwam Imam al-Sanusi membuktikan ciri-ciri rasional, saintifik, Tauhid dan Risalah yang telah disimpulkan dalam kalimah syahadah la ilaha illa Allah Muhammad Rasul Allah oleh Imam al-Sanusi dalam kitab beliau Umm al-Barahin berupaya membina kerangka kosmologi, metafizik dan epistemologi yang membentuk pandangan alam Islam khususnya bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah, kelompok majoriti umat Islam sejak zaman berzaman.

Bagi membantu umat Islam kontemporari memahami kepentingan dan justifikasi pembinaan kerangka kosmologi, metafizik dan epistemologi Kalam Asha’irah, maka terlebih baik mereka dapat membandingkan dengan pandangan alam saingan dan tantangan yang melatari respond dan reaksi Kalam Asha’irah dahulu dalam membina pandangan alam alternatif yang selari dengan ruh ajaran Islam itu sendiri.

Malah pandangan alam kontra Kalam Asha’irah iaitu pandangan alam Aristotelianisme-Neoplatonisme yang dipegang dan dipertahan oleh sebahagian tokoh, aliran dan umat Islam dahulu sebenarnya masih lagi berterusan berleluasa sehingga ke hari ini.

Justeru dengan mengetahui secara membandingkan kedua-dua pandangan alam ini akan lebih menjelaskan apakah sebenarnya yang ditolak oleh Kalam Asha’irah dari pegangan Falasifa yang diwakili oleh Al-Farabi dan Ibn Sina khususnya.

Malah dalam konteks umat Islam kontemporari termasuk para sarjana muslim pun masih ramai yang tidak jelas atau terkeliru dengan pandangan alam Islam itu sendiri. Dari masa ke semasa sesuai dengan perkembangan zaman dan lingkungan serta cabaran-cabaran yang dihadapi, umat Islam perlu sentiasa mempelajari dan memperbaharui kefahaman mengenai pandangan alam mereka.

Akan ada sahaja syubhat pemikiran baru yang boleh mengelirukan aqidah dan pemikiran umat seperti pascamodenisme, relativisme dan skepticisme beragama; begitu juga syubhat pemikiran lama seperti Aristotelianisme-Neoplatonisme, mujassimah dan zandaqa akan terus mempengaruhi akidah dan pemikiran umat Islam.

Maka tidak dapat tidak usaha-usaha mengenalpasti dan menjauhi umat Islam dari terjebak dalam syubhat aqidah dan pemikiran baru dan lama tentunya tidak akan berkesudahan sehingga mereka menemui Maha Pencipta.

Disamping itu pula, pandangan alam Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah ini perlu diperjelas dan dipertegaskan kembali bagi membolehkan umat Islam mendapat suntikan semangat baru aqidah dan pemikiran Islam bagi meneruskan kebangkitan baru abad ke 21. Pendekatan rasional dan saintifik Kalam Asha’irah jarang sekali menjadi perhatian umat Islam kerana mereka disibukkan dengan hal-hal titik-bengik polemik, politik dan propaganda sehingga mengabaikan tumpuan kepada pembinaa peradaban Islam yang tinggi untuk umat manusia.

Kalam Asha’irah menyediakan teori-teori substantif Sains Tauhid yang telah terbukti menjadi pencetus kepada kebangkitan pengkajian alam secara saintifik dan empirikal. Banyak teori-teori rasional dan saintifik Kalam Asha’irah yang masih relevan dan terus dikembangkan dalam peradaban Barat misalnya. Justeru kembali memahami dan menghayati Pandangan Alam Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan tradisi Kalam Asha’irah wajar menjadi keutamaan umat pada hari ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: